18 Juli 2010

Hutan Paya Gambut

Hutan Paya Gambut kekal kestabilan alam sekitar

HUTAN Paya Gambut (HPG) bukan semata-mata hutan yang digenangi air. Ia adalah ekosistem yang unik terdiri daripada hidrologi, tanah dan tumbuhan. HPG lazimnya tumbuh selepas hutan paya bakau pesisiran pantai, meliputi kawasan lebih tiga kilometer (km) hingga lima km dataran landai sungai.

Dalamnya gambut, kebanyakannya terdiri daripada bahan tumbuhan separuh reput (proses pereputan sepenuhnya terhad kerana keadaan asidik serta ketiadaan aktiviti mikro-organisma) terkumpul lebih 8,000 tahun, boleh setebal di antara lapan hingga 20 meter.

Paya ini menyediakan pelbagai hasil hutan dan perkhidmatan, sama ada secara langsung dan tidak langsung, dalam bentuk produk perhutanan dan perikanan, pengawalan banjir, bekalan air dan sumber bekalan air bawah tanah.

Air di paya gambut secara umumnya mengandungi bahan humus yang tinggi. Bahan humus menjadikan air paya gambut berwarna perang atau hitam. Atas sebab inilah air paya gambut sering kali disebut sebagai ‘Permata Air Hitam’.

Pendek kata, HPG adalah penting kerana keluasan tanah dan kepelbagaian biologinya. Lebih 60 peratus atau 20 juta hektar daripada keluasan tanah gambut tropika dunia terletak di Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia.

Di Malaysia, HPG meliputi hampir 75 peratus daripada jumlah kawasan tanah lembap meliputi kawasan seluas kira-kira 1.6 juta hektar. Lebih 80 peratus daripadanya terletak di Sarawak.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar